Aku terpaku melihat khazanah alam yang masih kekal berdiri teguh mencengkam bumi sehingga ke hari ini. Perasaan simpati dalam diriku ini kian menebal tatkala melihat kerakusan manusia yang sentiasa memusnahkan khazanah ini bagi tujuan peribadi mereka. Adakah ini balasan yang sepatutnya kita bayar kepada alam? Keindahan alam semulajadi adalah anugerah yang Maha Esa dan ianya haruslah dipelihara sebaik-baiknya. Kehijauan hutan rimba dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang ada di dalamnya adalah anugerah yang paling berharga. Semua ini memberi pelbagai manfaat kepada kehidupan manusia sehingga ke hari ini. Ada kalanya manusia lupa akan tanggungjawabnya untuk memelihara alam sekitar. Manusia menggondol segala khazanah tanpa had. Mereka leka melakukan pencerobohan dengan menggunakan kaedah teknologi canggih atau jentera bagi memusnah hutan dan khazanah yang ada di dalamnya dengan tujuan bagi mencari kekayaan dunia tanpa menghiraukan impaknya kepada alam dan generasi kita pada masa akan datang.
Dunia tanpa rimba
seumpama hamba
dia dikejar manusia
yang tamak haloba
Khazanah alam
lestari perlu dikekal
jangan sampai tangan nakal
memukal balak pejal
tanpa belas kasihan dan rasa kesal
Hijau rimba
eksplorasi ranjau
jauh dalam sudut tinjau
adalah amal perantau
pencinta alam hijau
berjuang tanpa rasa gentar
agar bumi hijau terus berpinar