Wednesday 15 June 2011

SEMANIS KEK


Mulutku berkumat kamit mengunyah kek coklat yang sentiasa digemari oleh semua orang terutamanya kaum hawa. Manisnya kek yang sedang dikisar dalam mulutku ini semanis kenangan terakhir perkulihanku bersama-sama rakan-rakan dan pensyarahku iaitu Dr Mawar pada petang ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau kerana membuat suatu kejutan yang langsung tidak aku duga sebelum ini. Aku mengerti akan tujuannya yang bukan sahaja menggunakan kek ini sebagai aplikasi dalam bengkel yang dibuat olehnya pada petang ini, bahkan bertujuan bagi meraikan sambutan hari lahir rakanku iaitu Faizal. Satu kenangan manis yang tidak dapat aku lupakan di saat kuliah terakhir disulami elemen penuh kejutan. Di saat Faizal memotong kek dengan dihiasi senyuman manis pada wajahnya.Gelak tawa rakan-rakan dan senda gurau mereka pada petang ini mencuit hati pensyarahku. Gelagat kami menggambarkan seribu satu makna dalam meniti saat-saat terakhir pembelajaran petang itu. Semoga kenangan ini menjadi medan pembakar semangat untukku meneruskan perjuangan menghasilkan karya-karya penulisan yang lebih bermutu pada masa akan datang. Kemanisan setiap kunyahanku juga mengimbas kembali kenanganku di saat keluargaku menghadiahkan sebiji kek coklat sewaktu umurku 10 tahun. Aku sungguh terkasima pada waktu itu kerana sebelum ini aku tidak pernah diraikan sedemikian. Namun, apa yang pasti senario itu sudah tidak wujud lagi pada ketika ini. Mungkin disebabkan aku sudah semakin meningkat dewasa. Mungkin juga kesempitan hidup keluargaku menghalang mereka untuk meraikan sambutan hari jadiku. Apa yang pasti, aku bersyukur kerana keluargaku sentiasa menyayangiku dan berusaha memberikan yang terbaik buat diriku. Semua itu pun sudah memadai buatku kerana aku masih lagi dianugerahkan dengan kemanisan cinta dan kasih sayang daripada keluarga.

2 comments: