Tuesday, 21 June 2011

MASIH HIJAUKAH BUMI INI...


Aku terpaku melihat khazanah alam yang masih kekal berdiri teguh mencengkam bumi sehingga ke hari ini. Perasaan simpati dalam diriku ini kian menebal tatkala melihat kerakusan manusia yang sentiasa memusnahkan khazanah ini bagi tujuan peribadi mereka. Adakah ini balasan yang sepatutnya kita bayar kepada alam? Keindahan alam semulajadi adalah anugerah yang Maha Esa dan ianya haruslah dipelihara sebaik-baiknya. Kehijauan hutan rimba dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang ada di dalamnya adalah anugerah yang paling berharga. Semua ini memberi pelbagai manfaat kepada kehidupan manusia sehingga ke hari ini. Ada kalanya manusia lupa akan tanggungjawabnya untuk memelihara alam sekitar. Manusia menggondol segala khazanah tanpa had. Mereka leka melakukan pencerobohan dengan menggunakan kaedah teknologi canggih atau jentera bagi memusnah hutan dan khazanah yang ada di dalamnya dengan tujuan bagi mencari kekayaan dunia tanpa menghiraukan impaknya kepada alam dan generasi kita pada masa akan datang.

Dunia tanpa rimba
seumpama hamba
dia dikejar manusia
yang tamak haloba

Khazanah alam
lestari perlu dikekal
jangan sampai tangan nakal
memukal balak pejal
tanpa belas kasihan dan rasa kesal

Hijau rimba
eksplorasi ranjau
jauh dalam sudut tinjau
adalah amal perantau
pencinta alam hijau
berjuang tanpa rasa gentar
agar bumi hijau terus berpinar

Wednesday, 15 June 2011

SEMANIS KEK


Mulutku berkumat kamit mengunyah kek coklat yang sentiasa digemari oleh semua orang terutamanya kaum hawa. Manisnya kek yang sedang dikisar dalam mulutku ini semanis kenangan terakhir perkulihanku bersama-sama rakan-rakan dan pensyarahku iaitu Dr Mawar pada petang ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau kerana membuat suatu kejutan yang langsung tidak aku duga sebelum ini. Aku mengerti akan tujuannya yang bukan sahaja menggunakan kek ini sebagai aplikasi dalam bengkel yang dibuat olehnya pada petang ini, bahkan bertujuan bagi meraikan sambutan hari lahir rakanku iaitu Faizal. Satu kenangan manis yang tidak dapat aku lupakan di saat kuliah terakhir disulami elemen penuh kejutan. Di saat Faizal memotong kek dengan dihiasi senyuman manis pada wajahnya.Gelak tawa rakan-rakan dan senda gurau mereka pada petang ini mencuit hati pensyarahku. Gelagat kami menggambarkan seribu satu makna dalam meniti saat-saat terakhir pembelajaran petang itu. Semoga kenangan ini menjadi medan pembakar semangat untukku meneruskan perjuangan menghasilkan karya-karya penulisan yang lebih bermutu pada masa akan datang. Kemanisan setiap kunyahanku juga mengimbas kembali kenanganku di saat keluargaku menghadiahkan sebiji kek coklat sewaktu umurku 10 tahun. Aku sungguh terkasima pada waktu itu kerana sebelum ini aku tidak pernah diraikan sedemikian. Namun, apa yang pasti senario itu sudah tidak wujud lagi pada ketika ini. Mungkin disebabkan aku sudah semakin meningkat dewasa. Mungkin juga kesempitan hidup keluargaku menghalang mereka untuk meraikan sambutan hari jadiku. Apa yang pasti, aku bersyukur kerana keluargaku sentiasa menyayangiku dan berusaha memberikan yang terbaik buat diriku. Semua itu pun sudah memadai buatku kerana aku masih lagi dianugerahkan dengan kemanisan cinta dan kasih sayang daripada keluarga.

Tuesday, 14 June 2011

KEMANUSIAAN


Aku menghela nafas panjang setelah merenung segala musibah yang sedang melanda dunia pada hari ini. Ianya seakan-akan tiada penghujungnya. Aku duduk di sisi tingkap sambil merenung menerokai keindahan alam yang masih lagi ku kecapi di luar sana. Angin malam yang dingin meniup tubuhku di balik tirai langsir. Sedih. Itulah gambaran perasaanku yang bermain dalam hatiku ketika ini. Perasaanku berkecamuk mengenagkan nasib saudara-saudaraku di Palestin. Sifat kemanusiaan sudah lama hilang ditelan keghairahan manusia yang rakuskan kemusnahan. Air mataku tiba-tiba mengalir perlahan-lahan membasahi pipiku disebabkan kesedihan yang tidak dapat ditahan.  Dengan diiringi sebak, aku mengurut-urut dada bidangku seraya mendongakkan kepalaku merenung langit. Berharap terjadinya perkara ajaib yang dapat memulihkan semula situasi di negara yang sedang bergolak itu. Situasi yang lebih baik daripada sebelum ini. Terbayang di mataku saat anak-anak kecil melawan musuh dengan hanya berbekalkan kudrat kecil yang mereka miliki. Inilah yang dinamakan pejuang sejati! Pejuang yang sanggup mengadaikan nyawa demi mempertahankan hak diri dan maruah negara. Mereka juga insan biasa seperti kita. Insan yang mahukan hidupnya disinari dengan kegembiraan dan hilai tawa keriangan. Bukannya perlu menmpuhi liku hidup yang penuh onak dan duri seperti itu sehingga menimbulkan mimpi ngeri bagi kanak-kanak itu. Sah! Ianya hanyalah suatu permainan jiwa. Suatu realiti yang bukan lagi fantasi dalam mimpi-mimpi yang kerap muncul dalam tidur mereka. Permainan ini sentiasa berputar bagaikan roda tanpa dapat diketahui di mana penamatnya cerita lara dunia ini. Wayang pementasan dunia itu semakin jelas. Perbuatan terkutuk yang dilakukan semakin berleluasa tanpa ada perlindungan daripada pihak yang berwajib. Insan yang lemah menjadi korban keganasan. Aku berdoa dan berharap supaya suatu hari nanti penyeksaan mereka ini dapat ditamatkan bagi mewujudkan keharmonian yang akan berkekalan.

Friday, 10 June 2011

ZAMAN KANAK-KANAK



Zaman kanak-kanak..
Masih segar dalam ingatan
Kenakalanku yang tiada tolok tandingan
Semua tindakan tiada halangan.
Wajah sentiasa terukir senyuman


Zaman kanak-kanak..
Segala bakat yang aku miliki dimanfaatkan
Ayah dan ibuku sentiasa memberi perhatian
Diiringi dorongan dan juga galakkan
Melihat telatahku dengan penuh harapan.


Zaman kanak-kanak..
Dunia yang penuh dengan keseronokan
Setiap keriangan sukar untuk dilupakan
Hidup dipenuhi dunia permainan
Tetapi pelajaran tidak dilupakan.


Zaman kanak-kanak..
Kehidupan yang serba indah dan kesempurnaan
Dimensi awal membina harapan
Bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan
Diharap supaya apa yang dicita-citakan menjadi kenyataan.

Tuesday, 7 June 2011

MASALAH




Setiap manusia tidak dapat lari daripada sebarang masalah. Tidak kiralah masalah tersebut masalah besar ataupun masalah kecil. Ada yang tabah menghadapi situasi tersebut dan ada juga yang cepat berputus asa. Perlu diingat bahawa setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Atasinya secara berperingkat-peringkat disulami dengan hati dan jiwa yang tenteram. Seseorang tidak dapat menyelesaikan masalah sekiranya minda dan jiwanya digaul secara terpaksa sehingga ianya berkecamuk. Keluarga adalah agen paling terbaik bagi seseorang sebagai tempat untuk mengadu masalah. Sekiranya sudah berumah tangga pula, pasangan menjadi tempat untuk berkongsi masalah. Rakan-rakan juga boleh dijadikan agen untuk berkongsi masalah asalkan mereka boleh dipercayai. Kebiasaannya, remaja merupakan golongan yang mengalami risiko tinggi tidak dapat menyelesaikan masalah mereka dengan kaedah yang benar. Golongan dewasa dapat menyelesaikan masalah dengan dibantu oleh pasangan masing-masing. Sekiranya dalam masalah konflik rumah tangga pula, setiap badai yang melanda haruslah diatasi dengan perbincangan yang baik antara suami dan isteri. Remaja memerlukan sokongan daripada seseorang ataupu pihak-pihak tertentu supaya dapat memandu mereka bagaimana jalan yang terbaik untuk menyelesaikan setiap masalah yang mereka hadapi. Dengan adanya bimbingan dan sokongan, nescaya ianya akan menjadikan mereka lebih bersemangat untuk menyelesaikan masalah tanpa adanya sikap berputus asa.

Thursday, 2 June 2011

DUNIA REMAJA


Di kala hujan renyai-renyai malam ini, hatiku tenang tanpa seribu duka. Mindaku lapang umpama padang pasir di tanah Arab. Mulutku berkumat-kamit melayan lagu 'Sungai Lui' nyanyian Aizat. Aku terbayangkan betapa indahnya kehidupan sekiranya kita hidup tanpa wujudnya kaca dan duri dalam kehidupan ini. Dunia remaja sememangnya diakui adalah peringkat dimana seseorang itu masih lagi mencari-cari identiti sebenar mereka dan menempuhi jalan-jalan yang berliku. Hanya ilmu dan panduan yang benar sahaja dapat memandu remaja menuju ke arah jalan yang benar. Oleh itu, sebagai insan yang tidak lari daripada melakukan kesilapan, kita seharusnya bijak mengimbangi antara keperluan dunia dan dan keperluan akhirat. Janganlah terlalu taksub dengan mainan dunia hinggakan akhirat dilupakan. Jangan pula terlalu mementingkan keperluan akhirat hinggakan dunia pula yang diabaikan. Memang kehidupan dunia mempunyai pelbagai onak dan duri. Namun sekiranya kita menghiasinya dengan amalan-amalan yang baik dan benar, nescaya kehidupan kita mendapat keberkatan seterusnya individu tersebut dapat mengharungi kehidupannya dengan begitu tenang bak bunga yang menguntum mekar di taman. Sebagai manusia yang masih muda dan mentah, generasi muda seharusnya mendapat bimbingan dan galakkan yang betul supaya mereka tidak terus dihanyutkan dengan nafsu remaja mereka.

Monday, 30 May 2011

DAGING BLACK PAPER

Bau masakan ibu di dapur sangat menusuk dalam hingga ke dasar hatiku. Hidungku tidak berhenti-henti mencium bau hidangan ibuku itu sehingga membuatkanku seperti manusia yang terlalu taksub dengan bau makanan. Namun, itu tidak sedikit pun membuatkanku peduli dengan kata-kata sinis daripada adik-beradikku yang lain. Ibu memiliki kepakaran yang begitu tinggi dalam bidang masakan. Sebutlah apa sahaja jenis masakan yang wujud di dunia ini. Nescaya ibuku mengetahu segala-galanya. Aku kagum dengan ibu dan masakannya adalah yang paling terbaik sepanjang hidupku. Sejak kecil lagi aku tidak didedahkan dengan persekitaran di dapur.Ini mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan sebagai kaum lelaki,aku sememangnya tidak digalakkan memasak di dapur. Namun, langit tidak selalunya cerah. Dalam usia yang semakin dewasa, aku terpaksa akur bahawa aku perlu mendalami dunia masakan. Walau tidak dapat mendalami sekalipun, cukuplah sekadar mengetahui serba sedikit resipi yang mudah untuk difahami. Setelah aku tamat STPM, aku telah berkerja sementara di Subang Jaya. Kehidupan di sana amat berbeza dengan kehidupanku sebelum ini. Di kampung, segala urusan kehidupanku mudah kerana dibantu oleh kedua-dua orang tuaku. Namun di bandar, kehidupanku disulami dengan pelbagai onak dan duri. Aku belajar bagaimana untuk hidup berdikari. Di sini jualah aku belajat pelbagai jenis resipi sebagai hidangan makananku di rumah sewa. Ini dapat menjimatkan wang perbelanjaan harianku. Masakan yang paling aku gemari adalah 'Daging Black Paper'. Kini, aku berkata kepada diriku sendiri. Aku tidak perlu memerlukan bantuan sesiapa. Kalau aku sudah berjaya meranjaui pelbagai rintangan dan pahit maung dalam kehidupanku sendiri sehingga tegak begini, mengapa aku harus mengimpikan sokongan dan bantuan daripada kedua-dua orang tuaku. Sekarang, adalah masa yang sesuai untuk aku mmbuktikan segala pengorbanan dan usaha mereka selama ini tidak sia-sia. Giliranku pula untuk membalas segala budi mereka sebelum ini dengan menjaga kebajikan dan menghormati mereka. Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dan membuatkan hati mereka tersenyum girang.




BAHAN-BAHAN

500g daging - dihiris nipis direbus hingga empuk (ada yg terus goreng tapi saya rebus dulu takut tak empuk...keras dll)
1camca teh serbuk kunyit
garam
sedikit minyak untuk menggoreng
1/4 cawan kicap pekat (saya pakai kicap manis cap kipas udang)
4-5 sudu sos tiram
1 sudu teh serbuk lada hitam
sedikit air untuk kuah...

bahan ditumbuk
7 biji bwg merah 
5 ulas bwg putih 
1 inci halia

cili merah, cili hijau dan bawang besar dipotong bulat sebagai hiasan


CARA-CARA

1. Perap daging yang sudah direbus dengan kunyit dan garam lehih kurang 15 minit
2. Goreng daging kira-kira 5 minit jangan garing sangat sebab kita dah rebus tadi..nanti keras dagingnya
3. masukkan bahan yang ditumbuk bersama-sama tadi hingga naik bau, kalau nak berkuah letak sikit air.
4. kemudian masukkan kicap, sos tiram dan lada hitam. biarkan masak
5. akhir sekali masukkan bawang besar, cili hijau dan cili merah. Sudah siap..boleh dah makan :)